Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Perisytiharan
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
- Memelihara cara hidup demokratik
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
- Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden:
Ikrar
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan
yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan
bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi
Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan
dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan
tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama
adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan
pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia.
Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu
bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota
masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih
sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut
Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua
Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan
Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan
kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat
setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa
mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan
Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi
perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka
sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati,
menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah
pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan
kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia
merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu
gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia
menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia
adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan,
perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana
setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi
terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan
kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.
Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil.
Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas
dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan
mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan
undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan
licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat
akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan
tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin
oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan
itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau
dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan
tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara
yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan
bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan
antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap
bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu
dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu
mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk
tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang
atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah
kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa
terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai
murni.
No comments:
Post a Comment