Wednesday, 27 June 2012

Puteri Gunung Ledang


GUNUNG LEDANG.. terletak di kawasan Sagil dalam daerah Tangkak bersempadan dengan daerah Jasin di Melaka.Gunung setinggi 4,187 kaki (dari aras laut) silamnya dipanggil “Mount Ophir” oleh orang-orang Portugis.( sumber sejarah Melaka di Perpustakaan Lisbon, Portugal) yang menguasai negeri Melaka pada tahun 1511. 

Di kawasan gunung ini juga pernah diceritakan wujudnya emas dan pernah ditemui di suatu kawasan gunung yang dinamakan Gunung Gemih. Cerita orang dahulu, ketika Gunung Ledang masih baru didaki orang dan belum mendapat jalan mendaki seperti sekarang. Sesiapa yang sedang mendakinya akan merasakan sesuatu yang luarbiasa seolah-olah sedang berada di suatu tempat yang sangat indah.


ANTARA MAKLUMAT PENTING BERKAITAN SEJARAH GUNUNG LEDANG YANG BELUM DIKETAHUI UMUM IALAH:-

  1. LEDANG.. menurut 'Kamus Dewan' ialah dari segi Bahasa Jawa yang bererti : menunjuk-nunjukkan diri seseorang yang ego.
  2. Adalah dipercayai nama Gunung Ledang ini dicipta oleh Kerajaan Majapahit yang telah berkuasa di negeri ini sebelum kebangkitan kerajaan Melaka. Maksudnya Gunung Ledang itu ialah gunung yang tinggi.
  3. Maklumat daripada Sejarah China pula Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah melawat Gunung Ledang.Beliau dikatakan melawat lombong-lombong emas di Gunung Ledang dan mengambil contoh emas-emas tersebut untuk pengetahuan rajanya.
  4. Di keliling kemuncak Gunung Ledang terdapat 7 buah kemuncak rendah. Setiap satunya mempunyai legendanya yang tersendiri.
  5. Yang paling aneh sekali ialah Legenda Gunung Gemih yang ceritanya ada sebuah gua emas yang dikawal rapi oleh penunggunya seekor lembu emas.
  6. Dalam peta lama Portugis, nama GEMIH ini ditulis sebagai “GUMMAY” yang bermaksud sebuah pusat perusahan emas.
  7. Menurut kolonel Gerini ( 1904 ), Gemih masih merupakan pusat perlombongan emas orang-orang Melayu di Gunung Ledang sehingga tahun 1817.
  8. Rounsevelle Wildman, seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat telah menemui seketul logam yang diambil dari kawasan lombong di tebing Sungai Gemih pada tahun 1894, apabila dileburkan didapati mengandungi emas.




PUTERI GUNUNG LEDANG :-
Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. 

Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang. Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya,samaran kepada Puteri Gunung Ledang. 

Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:
  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan masih kanak-kanak lagi.
Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Sultan yang meminang dengan Puteri Gunung Ledang bukannya Sultan Mahmud, tetapi Sultan Mansor Shah.

No comments:

Post a Comment